Showing posts with label Gangguan Emosi. Show all posts
Showing posts with label Gangguan Emosi. Show all posts

Apabila Ayah Melebihkan Isteri Muda

Sayu hati saya melihatkan ibu. Wanita yang gigih mengharungi kehidupan ini tanpa suami di sisi, walaupun sebenarnya suaminya wujud. Ya..memang suaminya wujud, tapi bukan bersamanya tetapi bersama “isteri muda”.

Nama saya Zarul (bukan nama sebenar). Saya adalah anak isteri pertama dari keluarga yang berpoligami. Saya mempunyai seorang abang dan seorang adik perempuan. Hidup kami sekeluarga mewah sebenarnya. Ayah seorang yang berjawatan tinggi dan berpengaruh. Tetapi sejak ayah berpoligami, hidup kami serba kekurangan.

Sudah 17 tahun ayah berpoligami dan sejak itu juga la ayah mengabaikan tanggungjawabnya sebagai seorang suami dan ayah. Ibu? Wanita ini memang cekal. 17 tahun hidup bagai gantung tak bertali; ditinggalkan begitu sahaja; tiada lafaz cerai atau penjelasan dari ayah. Ayah ada memberi nafkah kepada kami sekeluarga tetapi tidak mencukupi untuk perbelanjaan makan minum, sewa rumah, duit belanja dan yuran universiti. Terpaksalah kami mengikat perut.

Saya pernah ke rumah ayah dengan isteri mudanya. Mereka hidup mewah. Ada tiga buah rumah besar, sedangkan kami masih menyewa. Berpindah-randah tapi masih tetap menyewa. Adilkah ayah buat begini pada kami? Tapi saya hanya berdiam diri kerana ibu cakap tak payah la kita nak buat kecoh sebab duit belanja kita hanya bergantung kepada ayah. Saya ikut cakap ibu sebab tak mahu ibu susah hati. Walaupun dalam hati ini memberontak.

Saya ingat lagi, bila mula sesi persekolahan, ibu lah orang yang paling sibuk menguruskan kami. Daftarkan urusan persekolahan, bayar yuran hingga lah aku dan adik berjaya melanjutkan pelajaran ke peringkat universiti. Ayah? Dia langsung tak ambil peduli. Dia hanya beri duit belanja, tidak kira la kalau waktu itu kami memerlukan lebih duit untuk sesi persekolahan baru atau hari raya. Kalau ibu minta lebih duit belanja, ayah akan mengamuk, naik angin kata ibu tak pandai berjimat sedangkan hakikatnya wang yang diberikan tidak mencukupi untuk kami sekeluarga.

Ada satu insiden yang saya tidak akan lupa sampai bila-bila. Satu hari saya kemalangan, dan dimasukkan ke hospital. Ayah langsung tidak datang melawat saya di hospital! Hati saya sangat sedih bila mengenangkan perbuatan ayah. Tidak ada sekelumit sayangkah kepada anaknya ini? Saya betul-betul sedih! Masa hari perbicaraan kes kemalangan juga ayah tidak hadir, malah semuanya ibu dan abang yang menguruskan. Ayah juga tidak hadir di hari konvokesyen saya. Bersama-sama meraikan kejayaan anaknya ini. Entahlah...hati ini bagai dihiris mengenangkan perangai ayah!

Oh..mungkin anda semua tertanya-tanya, di mana abang saya? Abang bekerja dengan ayah dan isteri mudanya. Kami di Kuala Lumpur manakala abang menetap di utara. Oleh sebab abang bekerja dengan ayah, maka abang hanya mendiamkan diri sahaja. Tapi abang selalu juga bertanya khabar tentang ibu, saya dan adik. Saya tak salahkan abang jika dia hanya mendiamkan diri kerana mungkin dia ingin menjaga periuk nasinya.

Bercerita tentang abang, ada satu peristiwa yang saya rasa ayah sangat melampau. Menidakkan hak ibu terhadap anaknya. Hari bersejarah dalam keluarga kami, bila abang berkahwin. Majlis resepsi sebelah lelaki diadakan di kediaman ayah di utara mengikut kehendak ayah. Saya, ibu dan adik sangat gembira, kami ingin datang ke majlis persandingan abang. Namun, ayah dan isteri mudanya menghalang ibu dari hadir ke majlis ini! Hancur luluh hati ibu..Sampainya hati ayah buat ibu begitu! Abang pula tiada pilihan lain selain mengikut cakap ayah. Aku tahu abang serba salah. Diluah mati mak ditelan mati ayah.

Adilkah ayah buat begitu kepada ibu? Saya bukan menentang poligami secara membabi-buta. Tapi kalau ini lah caranya, hingga ibu menderita; saya tak boleh terima. Ayah sepatutnya menjalankan poligami secara adil. Adil dalam segala-galanya. Ini tidak, dia hanya pentingkan isteri mudanya! Selagi boleh bertahan saya akan bertahan demi ibu tercinta.

Lagi Kisah Anak...

Manja (bukan nama sebenar) tinggal di Pekan Muar, Johor. Sejak kecil dia tinggal dengan datuknya dan bekerja di kilang. Ayah Manja telah berkahwin dua. Bermula dari itulah, keluarganya sibuin regang. Secara tidak langsung, akibat perbuatan ayahnya itu juga, dia juga telah berhenti bersekolah awal dan bekerja dari kecil. Manja tinggal di rumahnya sendiri yang berdekatan dengan rumah ayahnya, dan telah pun bercerai dengan suaminya, yang dikatakan seorang yang malas. Manja mempunyai seorang anak yang kini berada dalam darjah dua (8 tahun) dan menyara kehidupan dengan menjahit.

Pertama kali Manja mengenali wanita yang akan menjadi isteri kedua ayahnya, wanita tersebut telah bertunang dengan sepupu Manja. Oleh itu, tidak ada perkenalan formal yang dibuat di antara mereka dan seluruh kampung mengenali wanita tersebut. Tiada sesiapa dari ahli keluarga menyangka bahawa wanita itu akan menjadi ibu kedua bagi Manja. Ayahnya dengan wanita itu dikatakan berkawan secara senyap-senyap sehingga keluarga mereka pun tidak tahu tentangnya.

Manja mengaku hubungan keluarganya dari dulu tidak begitu rapat, tetapi apabila isteri kedua muncul, ia bertambah renggang. Apabila isteri kedua tiba, ramai saudara-mara marah dengan ayah Manja, terutamanya ibu Manja. Ibu Manja hendak bercerai, namun ayahnya tidak membenarkan.

Menurut Manja juga, ayah pada mulanya memberi wang kepada ibu, kemudian jarang-jarang dan seterusnya berhenti. Ayahnya tidak adil dalam pemberian nafkah zahir, dan memberi lebih kepada isteri mudanya. Katanya, isteri kedua ayah banyak mempengaruhi dan mengawal hidup ayahnya dan Manja juga berasa kasihan pada ayahnya walaupun marah juga. Oleh kerana Manja tinggal bersama datuknya, adiknya telah bercerita bahawa ayahnya kerap marah dan telah membawa wanita itu balik dan tidur di rumah walaupun mereka belum berkahwin lagi. Ibu Manja pernah berang dengan perangai ayahnya dan pernah mengejarnya dengan parang.

Amalan poligami itu berlaku juga dalam keluarga belah ayah Manja. Katanya, mereka pun ada kahwin dua dan kahwin-cerai. Tambahan pula, mereka adik-beradik pula bergaduh demi harta. Ayah Manja tinggal bersama isteri mudanya. Kini ayah berumur 50an manakala isteri keduanya berumur 40an. Walaupun menurut kata Manja dia tidak begitu rapat dengan ibunya, dia tetap berasa sedih dan simpati kerana ibu terpaksa keseorangan dan tidak boleh bercerai dan memulakan hidup baru.

Manja mempunyai enam adik beradik, dan empat lagi adik dari perkahwinan kedua ayahnya. Melalui ceritanya, Manja hanya rapat dengan adiknya sendiri yang nombor 2. Dengan adik tersebutlah, Manja meluahkan perasaannya dan berbual lebih kerap. Yang lain tidak begitu rapat tetapi dianggap keluarga juga. Pada Hari Raya atau kenduri perkahwinan, mereka akan berkumpul bersama. Dengan itu, mereka bertemu dengan isteri kedua dan lama kelamaan mereka mula menerimanya. Kecuali ibu Manja, yang pada mulanya turut serta dan melawat rumah ayah (di mana ayahnya tinggal dengan isteri baru), tetapi lama kelamaan ibu Manja berhenti melawat bapanya.

Manja bersifat sedikit terbuka kepada amalan poligami. Walaubagaimanapun, Manja berpandangan yang wanita tidak diberi hak yang sama dan kerajaan harus masuk campur jika lelaki tidak dapat menyokong isteri-isteri dan keluarga-keluarganya.

Secara keseluruhan, tindakan ayah Manja yang hanya mementingkan diri sendiri telah meretakkan rumah tangga mereka dan memberi kesan yang mendalam kepada anak - anak. Salah seorang adik lelaki Manja cepat naik marah, mungkin akibat kesan psikologi. Anak-anak dari perkahwinan pertama tiada tempat mengadu dan memendam perasaan, sudah tentunya hanya akan meninggalkan kesan buruk. Nyata bahawa kehidupan berpoligami lebih membawa kepada kesusahan daripada kesenangan. Mahkamah Shariah juga tidak memainkan peranannya dengan berkesan, contohnya dalam mengenalpasti sama ada ayah Manja mampu menanggung dua isteri dan juga untuk mencepatkan tuntutan fasakh yang diminta oleh ibu Manja.

“Mu ni Anok Mok Hok Mano So?” (Engkau ni Anak Dari Mak yang Mana Satu?)

Pertama kali saya bertemu Icha di Food court asrama kolej, matanya yang tajam merenung saya dari atas ke bawah dengan curiga. Dia tertanya-tanya dari mana saya dapat nombor telefonnya dan ibunya. Mulanya saya memperkenalkan diri  sebagai pensyarah UiTM sedang cuti belajar dan pada masa yang sama sedang membuat kajian tentang poligami. 

Saya tunjukkan borang soal selidik padanya. Sambil membelek-belek, dia berkata serius,“This is personal…”, dia bertutur dalam bahasa Inggeris walaupun dia orang Kota Bharu. Jarang ada pelajar dari Kelantan mahu bertutur dalam bahasa Inggeris di luar kelas. Saya pelik. 

“I know…” , jawab saya cuba meyakinkannya “but if you are not comfortable to answer some questions, it’s okay…”.

“My family is normal…”, dia cuba meyakinkan saya tiada yang luar biasa tentang keluarganya. 

Saya memandang matanya sambil tersenyum, “Icha, there’s nothing wrong about your family. You are not the first person I interviewed”. 

Saya memberitahunya saya bukan mahu menyibuk tentang keluarganya. Kami berbual-bual tentang keluarganya sambil telefon bimbitnya terus berdering dan bunyi SMS yang masuk setiap 3-5 minit. Bapanya, seorang pegawai polis ingin tahu siapa gerangan yang memberikan saya nombornya. Ayahnya memberi amaran agar tidak menjawap soalan peribadi. 

Riak wajahnya jelas kurang senang bila ada soalan yang dianggap terlalu peribadi. Dia enggan memesan minuman atau colek keropok lekor atau rojak.

Temubual tersebut dilakukan hampir sepenuhnya dalam bahasa Inggeris, menunjukkan betapa tertutupnya dia dengan saya kerana kami berbual dalam bahasa asing. Saya beritahu tentang diri saya, kajian PhD saya dan memberinya senaskah majalah Reader’s Digest. Mukanya nampak berseri bila dia berkata “Oh! It’s been quite some time, but I like to read this magazine…”

Dia memberitahu saya dia dibawa ayahya ke rumah isteri pertama semasa dia masih kecil. Dia keliru dengan perbalahan keluarga namun bila semakin dewasa dia buat tak tahu dan tak ambil tahu. Bila ditanya tentang perasaannya dia menjawap  tak tahu atau no comment” atau “tak ambil tahu”. Tentang apa perasaanya tentang ibunya, dia menjawap, “ibu tak tahu apa-apa, she just knows she’s as second wife, that’s all”. 

Semasa anak-anak isteri pertama & kedua masih kecil, mereka masih bertegur sapa tetapi bila besar, masing-masing bawa hal sendiri. Rumah mereka hanya 1 KM dan keluarga isteri kedua kena lalu depan rumah isteri pertama untuk keluar ke jalan besar. “Bila lalu depan rumah dia buat tak tahu”. Dia hanya berhubung dengan anak-anak yang kecil, “Dah besar-besar ni, tak ada hubungan dengan Ma (Isteri pertama) dan anak-anak Ma. Icha berkongsi masalah dengan kawan-kawannya, kebanyakkan bukan dari keluarga yang berpoligami jadi mereka hanya boleh mendengar tetapi tidak banyak membantu.

Ayahnya ada 3 isteri dan 23 orang anak (11 dari isteri pertama , 9 dari isteri kedua dan 3 dari isteri ketiga). Kedua-dua isteri terpaksa bekerja keras menanggung keluarga. Icha sendiri semasa menduduki PMR terpaksa menjaga ibu di hospital dan membantu ibunya berniaga kecil-kecilan. Ibunya tidak rapat dengan keluarga dan sanak saudara. 

Sebelum berpisah saya tanya tentang pelajarannya, dia memberitahu saya, “Cuba bayangkan masa raya, saya salam ayah. Dia tanya, “mu ni anok mok hok mano?”. “He doesn’t even know which one is my mum. Wives dia berlumba-lumba beranak. Kami yang kena jaga adik-beradik. Jangankan nak tanya my studies or what course I’m taking, he wasn’t even sure I’m from the first or second wife”.

Bila saya bertanya, apakah dia suatu hari nanti bersedia jadi isteri kedua, jawapnya “not in my mind or things I would do. It might hurt my feelings”.

Nasib Malang Isteri Kedua

Aku seorang wanita Melayu professional, mempunyai kelulusan pengajian tinggi dan kini berumur dalam lingkungan awal 30an. Aku dibesarkan oleh nenek ku disebelah ibu kerana ibuku meninggal ketika aku kecil lagi dan bapaku telah lama mengabaikan aku semenjak beliau berkahwin baru, tidak lama sesudah matinya ibu. Aku sungguh manja dan rapat dengan nenek yang selalu menggalakkan aku supaya rajin belajar hingga ke peringkat tinggi agar aku dapat menyara hidupku sendiri. Nenekku telah meninggal dunia ketika aku mengikuti pengajian postgraduate di USA (tajaan kerajaan).

Kembali dari USA, aku menerima tawaran pekerjaan yang kini aku masih lakukan. Aku bertemu dengan bakal suami ku ketika aku bertugas hampir dua tahun di kota ini. Dia mengenalkan dirinya sebagai seorang duda yang baru sahaja bercerai kerana tidak sehaluan lagi dengan isterinya yang telah melahirkan tiga orang anak daripada perkongsian hidup mereka.

Menurutnya dia sengaja memohon kerja di negeri pantai timur ini agar dapat berjauhan dengan isteri yang masih tinggal di Perak. Kami berkenalan dan ber'dating' hampir satu tahun sebelum mengambil keputusan untuk bernikah di Mekah sambil bersama-sama mengerjakan umrah. Memang dulu nenek dan aku selalu menyebut agar aku dapat bernikah di Mekah setelah habis belajar dan mula bekerja.

Aku sungguh bahagia ketika pulang dari Mekah kerana kini rancangan hidupku yang diidam-idam kini telah dimakbulkan Allah SWT. Setelah setahun berkahwin, suamiku kena pulang bertugas di Perak atas tuntutan majikannya dan aku pula sedang mengandung anak pertama. Oleh kerana pekerjaannya, suamiku sering berulang-alik antara Ipoh dan kota tempat aku bekerja dan tinggal. Tak lama selepas dia berpindah ke Perak, aku dapati ada perubahan pada suami dari segi layanan dan kemesraannya pada aku.

Setelah lahir anak kami (seorang lelaki yang kini berumur 3 tahun), hubungan semakin renggang dan kemesraan semakin kurang. Ketika bayi kami berumur sekitar 8 bulan, aku ingin sekali menziarahi suami di Perak. Semasa dia bekerja, aku keseorangan di rumah dan aku berkemas-kemas untuk mengisi masa lapang. Ketika itulah aku terjumpa beberapa bahan bukti yang menimbulkan kecurigaan aku tentang hubungan suamiku dan bekas isterinya. Setelah aku keras bertanya dan sesudah kami berdua ‘bersua-muka dan bertengkar’ barulah aku ketahui selama ini aku adalah isteri kedua dalam perkahwinan 'poligami sulit' tanpa pengetahuan aku ataupun isteri pertamanya.

Semenjak ‘pecah tembelang’ ini, perhubungan kami tidak tenteram dan suamiku pun semakin tidak bertanggungjawab dari segi nafkah isteri ataupun anak. Malah amalan giliran untuk bersama aku dan isteri serta keluarga pertamanya pun tidak telus dan tidak aku ketahui dengan jelas.

Aku menyesal kerana begitu cuai dan terlalu percaya sehingga aku terperangkap dan terpedaya dalam situasi ini. Kini anak kami telah berusia 4 tahun dan aku semakin mengalami depresi. Aku sentiasa berasa sedih, murung dan hilang motivasi dalam semua hal kehidupan peribadiku, kehidupan keluargaku dan juga professionku. Ada kala aku rasa nak pergi ke rumah suamiku pada tengah malam dan bakar rumah tersebut. Seorang teman wanita yang rapat denganku menasihatkan aku berjumpa pakar psikiatri untuk mendapat rawatan depresi dan seterusnya mengambil langkah untuk bercerai dan memulakan satu kehidupan baru sebagai ‘a single parent’ dan mencari kebahagian bagi masa depanku. Manalah tahu jika aku dapat bertemu jodoh baru yang lebih baik daripada apa yang aku alami sekarang.

Cerita Anak Sulong Isteri Pertama

Saya berumur 32 tahun, kini bekerja sebagai pakar IT dalam sebuah syarikat swasta di KT. Saya anak lelaki kedua daripada 5 orang anak isteri pertama dalam keluarga poligami. Abang sulong ku, Abang Long kini berusia hampir 45 tahun adalah ketua keluarga dan sekali-gus ‘single parent’ kepada 5 orang adik-beradik saya. Ibu saya telah meninggal dunia (akibat kanser payudara) hampir 15 tahun dahulu setelah beliau di madukan oleh bapa saya. Pada awal pengalaman saya sebagai seorang anak dalam keluarga berpoligami, saya dan adik beradik telah mengharungi satu kehiduapn yang penuh kepahitan dan kesedihan. Ibu saya menerima berita akan penyakitnya setelah 3 atau 4 tahun beliau bermadu.

Ibu saya meninggal akibat penyakit kanser tersebut dalam 2 tahun. Beliau sentiasa ‘stressed out’ setelah mengetahui ayah berkahwin lagi. Tambahan pula, ayah saya terus mengabaikan kami setelah dia berpoligami. Malah ayah saya telah melenyapkan diri dan meninggalkan kami sekeluarga tidak lama setelah bernikah dengan isteri keduanya. Abang Long saya lah yang telah mengambil-alih segala tugasan dan tanggungjawab ayah saya, dari segi mencari nafkah untuk saraan hidup kami adik beradik dan ibu. Lebih-lebih lagi setelah ibu saya meninggal dunia, Abang Long menjadi ‘ibu dan bapa’ kepada kami semua.

Beliau telah bekerja setelah SPM dan memikul segala tanggungjawab saraan hidup, hal persekolahan dan membimbing kami adik beradik sehingga saya lulus kolej dan bekerja. Malah Abang Long kini tidak berkahwin dan masih mengambil tahu dan membantu semua adik-beradik perempuannya termasuk mereka yang telah berkahwin. Abang Long adalah ‘bapa dan ibu pengganti’ bagi saya dan semua adik beradik saya. Pada hemat saya, Abang Long telah mengorbankan diri dan kehidupannya sendiri agar beliau dapat memenuhi peranan dan tanggung jawab menjadi ‘single parent’ kepada saya dan adik-adik sekeliannya. Kini saya membantu Abang Long dari segi kewangan bagi dua orang adik yang masih belajar di sekolah dan di IPT.

Baru-baru ini, Abang Long memberitahu saya dan adik-adik lain yang bapa kami telah mengidap sakit jantung dan telah menghubungi beliau, setelah selama ini meninggalkan kami tanpa bantuan nafkah, tanpa berita! Abang Long saya adalah seorang insan yang sungguh baik hati dan berperikemanusiaan. Beliau menasihati kami semua agar pergi berjumpa dan menziarahi bapa saya. Abang Long kata, ‘kita orang Melayu dan sekiranya kita juga orang Islam yang baik, kita mesti mengampunkan Ayah dan sekurang—kurangnya menziarahi beliau ketika beliau sedang tenat sakit sekarang’. Malah Abang Long saya menasihatkan kami semua agar membantu ayah kami dari segi kewangan, perihatin dan apa-apa yang kami boleh lakukan.

Akhirnya saya dan semua adik beradik semuanya pergi menziarahi Ayah. Ada yang menghulurkan wang dan ada yang menziarahi beliau sehingga Ayah saya menghembus nafasnya yang terakhir. Saya amat sayang dan menghormati Abang Long saya. Bagi saya beliau adalah insan yang amat baik hati, sedia berkorban untuk ahli keluarga yang beliau kasihi, amat perihatin dan bertanggungjawab. Mungkin ini adalah pemberian Allah: bagi setiap kesusahan atau kepedihan hidup yang kita alami, ada juga terdapat kebaikan dan ‘cahaya’ yang memberangsangkan dan yang memberi kita harapan dan pedoman yang amat cemerlang.

Walaubagaimana pun saya juga ketahui dan mengenali beberapa orang rakan sekerja atau kawan-kawan yang nasib sama malang sperti saya adik beradik: iaitu mempunyai seorang bapa yang tidak bertanggungjawab atau perihatin terhadap isteri dan anak-anaknya; malah meninggalkan kami apabila dia telah mempunyai isteri kedua dan mendapat anak-anak dalam perkahwinan poligaminya. Saya berpendapat ini adalah satu ketidak-adilan yang tidak sepatutnya berlaku! Saya juga setuju dengan rakan-rakan dalam ‘Focus Discussion Group’ ini bahawa kerajaan atau mana-mana badan yang menguruskan hal-ehwal dan perundangan keluarga Islam kini mestilah memikirkan beberapa dasar atau amalan yang baik untuk menghindarkan masalah pengabaian dan tidak bertanggungjawab pihak Bapa/Suami dalam situasi perkahwinan poligami.

Saya juga ingin mencadangkan pihak pasukan penyelidik menubuhkan satu bentuk ‘support group’ (dalam bentuk online pun boleh) agar kami sebagai anak-anak dalam keluarga ataupun perkahwinan poligami dapat diberikan sokongan dan bantuan moral yang wajar. Apakah kesan yang sering terdapat di kalangan keluarga poligami, maka saya boleh katakan dengan yakinnya bahawa kesan emosi adalah yang sukar untuk di atasi. Abang Long saya telah berjaya memberi kasih sayangnya dan bantuan hidup sepenuhnya bagi saya dan adik-adik tetapi saya boleh katakan bahawa impak emosi adalah amat ketara dan sukar untuk di atasi.

Saya kini masih merasa was-was dan amat tidak mempunyai ‘confidence’ bahawa saya boleh memenuhi tanggungjawab sebagai bapa dan suami kepada keluarga saya sendiri dengan lebih baik lagi daripada bapa saya. Saya sering tertanya-tanya: ‘Bolehkah aku satu hari nanti menjadi seorang bapa yang baik dan bertanggungjawab? Mungkinkah aku akan bertabiat seperti ayah-ku dan mengamalkan poligami? Adakah aku berupaya berlaku adil kepada semua isteri dan anak-anak ku sekiranya aku mengikut langkah ayahku dan berpoligami?’ Mungkin kesangsian yang ada pada diri saya juga menyebabkan saya masih berwaspada untuk berkahwin. Ya, saya fikir ini juga adalah impak utama kepada diri saya akibat amalan poligami bapa saya selama ini!