Showing posts with label Adil. Show all posts
Showing posts with label Adil. Show all posts

Undang-undang Poligami di Malaysia

Poligami seringkali dilihat sebagai hak setiap lelaki Islam dan sekiranya hak ini dicabar, ini bermakna bahawa seseorang itu mempertikaikan hukum Allah S.W.T. Tetapi adakah ini benar?

Ayat 3 Surah an-Nisa' jelas menunjukkan bahawa poligami itu bukanlah suatu hak mutlak kaum lelaki, sebaliknya ia adalah suatu tanggungjawab untuk menentukan bahawa keadilan sosial terhadap balu-balu dan anak-anak yatim dapat dilaksanakan dengan betul.

"Sekiranya kamu khuatir kamu tidak mampu berlaku adil terhadap anak-anak yatim, maka kahwinilah wanita-wanita pilihanmu, dua, atau tiga atau empat; akan tetapi sekiranya kamu khuatir kamu tidak dapat melayani mereka secara adil maka (kahwinilah) satu sahaja.......... lni adalah lebih sesuai bagi mencegah kamu daripada melakukan ketidak-adilan."

Penekanan al-Quran mengenai keadilan di dalam berpoligami disokong lagi dalam Ayat 129 Surah an-Nisa' yang bermaksud:

"Kamu tidak mampu berlaku adil di antara wanita, walaupun kamu bersungguh-sungguh berazam berbuat demikian.”

Sesungguhnya kita harus jelas bahawa poligami ini bukan diperkenalkan dengan turunnya Islam, sebaliknya budaya poligami ini telah berleluasa dalam budaya Arab sebelum kedatangan Islam lagi. Dengan turunnya Ayat 3 Surah an-Nisa', Allah S.W.T telah menghadkan poligami kepada 4 daripada tiada had langsung. Kita juga tidak harus lupa dalam konteks manakah ayat poligami ini diturunkan, iaitu selepas berlakunya perang Uhud dimana ramai wanita kematian suami dan anak yatim pada masa itu.

Pihak-pihak yang mengajukan amalan poligami sebagai tanda keimanan dan mengikut sunnah Nabi Muhammad S.A.W jelas lupa akan perkahwinan Nabi dengan Khadijah. Perkahwinan tersebut adalah secara monogami dan kekal sehingga akhir hayat Khadijah. Perkahwinan Nabi selepas kematian Khadijah adalah dengan balu-balu dan janda-janda, kecuali Aishah. Perkahwinan-perkahwinan seterusnya dilakukan atas sebab politik dan untuk menyatu-padukan kaum-kaum yang berperang pada masa itu.

Ramai juga yang mungkin lupa atau tidak tahu akan satu kisah yang diriwayatkan oleh lbn Majah yang menyatakan bahawa Rasulullah S.A.W tidak membenarkan Saidina Ali R.A berkahwin dengan seorang lagi perempuan kecuali Ali menceraikan Fatimah, anak perempuan beliau. Nabi mengatakan apa yang menyusahkan dan meresahkan Fatimah, akan menyusah dan meresahkan baginda juga dan apa yang memudaratkan Fatimah, memudaratkan baginda juga. Ini jelas menunjukkan bahawa bagi Nabi juga poligami ini bukanlah sesuatu yang menyenangkan. Baginda nyata sedar bahawa poligami itu akan menyakitkan anak perempuannya Fatimah. Adakah kita menyatakan bahawa Nabi Muhammad S.A.W melanggar perintah Allah S.W.T kerana tidak membenarkan Saidina Ali berkahwin seorang lagi?

Terdapat pihak-pihak tertentu yang berfikiran bahawa tiada sebarang dalil dalam al-Quran atau Hadith yang mewajibkan seorang suami meminta izin isteri pertama sebelum dia berkahwin seorang lagi. Ini kerana poligami itu adalah hak mutlak suami. Maka kenapa perlu minta kebenaran? Dikatakan suami tidak perlu berunding dengan isteri-isteri yang sedia ada. Tetapi, sekiranya hujah ini diterima bagaimanakah kita hendak menentukan perkahwinan poligami dapat memastikan keadilan sedangkan dari awal ketidakadilan telah berlaku? Adakah patut keizinan isteri yang sedia ada tidak diperolehi atau ia tidak diberitahu terlebih dahulu tentang hajat suami untuk berpoligami? Adakah isteri hanya seperti hamba yang tidak mempunyai hak langsung dalam perkahwinan itu?

Konsep poligami di Malaysia juga seringkali dikaitkan dengan nafsu lelaki. Dikatakan bahawa poligami adalah sebuah institusi yang dibenarkan oleh Islam untuk kaum lelaki memenuhi nafsu mereka secara sah. Seolah-olah jika menolak poligami bermakna seseorang itu seperti bersubahat memaksa lelaki dan perempuan berzina tanpa ikatan yang sah. Akan tetapi tidak ada sebarang ayat dalam al-Quran yang menyarankan poligami sebagai satu penyelesaian bagi masalah nafsu orang lelaki yang tidak terkawal. Undang-undang Malaysia juga tidak mengiktiraf nafsu sebagai satu syarat untuk berpoligami. Sebaliknya, ajaran Islam memberi penekanan kepada kawalan diri, disiplin dan kesucian rohani.

Poligami bukanlah satu jalan untuk mengatasi masalah keruntuhan akhlak sama ada dalam masyarakat Islam mahupun mana-mana masyarakat lain. Jika poligami dikatakan satu penyelesaian bagi masalah tersebut, maka masyarakat Islam di Malaysia dan negara-negara lain tentunya tidak lagi mengalami masalah-masalah sosial. Cara mengatasi apa yang dikatakan nafsu yang kuat ialah menukar sikap serta nilai kehidupan bahawa manusia telah dijadikan dengan akal yang sempurna dan mampu untuk mengawal nafsu dan mentaati perintah Allah S.W.T untuk beriman kepadaNya, berdisiplin dan menjalin sikap saling menghormati antara lelaki dan wanita.

Pada tahun 1984, Malaysia mempunyai salah satu Undang-undang Keluarga Islam yang progressif di kalangan negara-negara Islam. Kerajaan Persekutuan telah menggubal dan memperkenalkan, antara lain, pembatasan poligami bagi memastikan satu sistem yang adil diwujudkan di negara ini. Pelaksanaan konsep keadilan dalam undang-undang mengakibatkan keadaan di mana keputusan untuk berkahwin lebih daripada satu tidak lagi berada di tangan kaum lelaki. Pihak berkuasa negara yang menyandang tanggungjawab mentadbirkan keadilan kini diamanahkan dengan tugas agar meneliti permohonan untuk berpoligami bagi memastikan ianya memenuhi kehendak keadilan yang dimaksudkan dalam al-Quran. Undang-undang Keluarga Islam yang diperbaharui ini telah meletakkan lima syarat yang mesti dipenuhi supaya keadilan terlaksana, jika suami ingin berpoligami.

Lima syarat yang terkandung di dalam peruntukkan undang-undang yang asal adalah:

(a) bahawa perkahwinan yang dicadangkan itu adalah patut dan perlu, memandang kepada, antara lain, hal-hal keadaan yang berikut, iaitu, mandul, keuzuran jasmani, tidak layak dari segi jasmani untuk persetubuhan, sengaja ingkar mematuhi perintah untuk pemulihan hak-hak persetubuhan, atau gila di pihak isteri atau isteri-isteri yang sedia ada;

(b) bahawa pemohon mempunyai kemampuan yang membolehkan dia menanggung, sebagaimana dikehendaki oleh Hukum Syara', semua isteri dan orang tanggungannya, termasuk orang-orang yang akan menjadi orang-orang tanggungannya berikutan dengan perkahwinan yang dicadangkan itu;

(c) bahawa pemohon akan berupaya memberi layanan sama rata kepada semua isterinya mengikut kehendak Hukum Syara';

(d) bahawa perkahwinan yang dicadangkan itu tidak akan menyebabkan darar Syarie kepada isteri atau isteri-isteri yang sedia ada; dan

(e) bahawa perkahwinan yang dicadangkan itu tidak akan merendahkan secara langsung atau secara tak langsung taraf kehidupan yang telah dinikmati dan dijangka dengan munasabah akan dinikmati seterusnya oleh isteri atau isteri-isteri dan orang-orang tanggungannya yang sedia ada sekiranya perkahwinan itu berlaku.

Walaubagaimanapun, undang-undang tersebut tidak disenangi oleh banyak pihak terutamanya kaum lelaki yang menganggap bahawa undang-undang tersebut mengurangkan hak yang diberikan oleh Allah S.W.T. Maka, beberapa pindaan yang buruk telah dibuat kepada Undang-undang Keluarga Islam bermula dari tahun 1994 hinggalah ke tahun 2005. Pada tahun 1994, syarat poligami yang kelima telah dikeluarkan daripada peruntukan. Pada tahun 2005 pula, syarat bagi pemohon lelaki untuk membuktikan kepada mahkamah bahawa perkahwinan poligami adalah ‘patut dan perlu’ telah diubah kepada ‘patut atau perlu’. Pindaan-pindaan ini sekaligus telah menghakis hak wanita dan anak-anak mereka yang dahulunya lebih terjamin di bawah undang-undang 1984, khususnya dalam perkara-perkara berkaitan poligami dan perceraian.

Kerajaan perlu menyemak semula pindaan yang telah dibuat kepada Akta/Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam sejak 1994. Kelonggaran-kelonggaran yang ada di dalam Akta/Enakmen ini seharusnya diperketat dan dikemaskini, serta penguatkuasaan undang-undang dilaksanakan secara berkesan dan bersungguh-sungguh, terutama sekali syarat-syarat berpoligami. Selain daripada perkara undang-undang substantif, prosedur mahkamah yang jelas dan terperinci perlu diwujudkan di mahkamah Shariah.

Lagi Kisah Anak...

Manja (bukan nama sebenar) tinggal di Pekan Muar, Johor. Sejak kecil dia tinggal dengan datuknya dan bekerja di kilang. Ayah Manja telah berkahwin dua. Bermula dari itulah, keluarganya sibuin regang. Secara tidak langsung, akibat perbuatan ayahnya itu juga, dia juga telah berhenti bersekolah awal dan bekerja dari kecil. Manja tinggal di rumahnya sendiri yang berdekatan dengan rumah ayahnya, dan telah pun bercerai dengan suaminya, yang dikatakan seorang yang malas. Manja mempunyai seorang anak yang kini berada dalam darjah dua (8 tahun) dan menyara kehidupan dengan menjahit.

Pertama kali Manja mengenali wanita yang akan menjadi isteri kedua ayahnya, wanita tersebut telah bertunang dengan sepupu Manja. Oleh itu, tidak ada perkenalan formal yang dibuat di antara mereka dan seluruh kampung mengenali wanita tersebut. Tiada sesiapa dari ahli keluarga menyangka bahawa wanita itu akan menjadi ibu kedua bagi Manja. Ayahnya dengan wanita itu dikatakan berkawan secara senyap-senyap sehingga keluarga mereka pun tidak tahu tentangnya.

Manja mengaku hubungan keluarganya dari dulu tidak begitu rapat, tetapi apabila isteri kedua muncul, ia bertambah renggang. Apabila isteri kedua tiba, ramai saudara-mara marah dengan ayah Manja, terutamanya ibu Manja. Ibu Manja hendak bercerai, namun ayahnya tidak membenarkan.

Menurut Manja juga, ayah pada mulanya memberi wang kepada ibu, kemudian jarang-jarang dan seterusnya berhenti. Ayahnya tidak adil dalam pemberian nafkah zahir, dan memberi lebih kepada isteri mudanya. Katanya, isteri kedua ayah banyak mempengaruhi dan mengawal hidup ayahnya dan Manja juga berasa kasihan pada ayahnya walaupun marah juga. Oleh kerana Manja tinggal bersama datuknya, adiknya telah bercerita bahawa ayahnya kerap marah dan telah membawa wanita itu balik dan tidur di rumah walaupun mereka belum berkahwin lagi. Ibu Manja pernah berang dengan perangai ayahnya dan pernah mengejarnya dengan parang.

Amalan poligami itu berlaku juga dalam keluarga belah ayah Manja. Katanya, mereka pun ada kahwin dua dan kahwin-cerai. Tambahan pula, mereka adik-beradik pula bergaduh demi harta. Ayah Manja tinggal bersama isteri mudanya. Kini ayah berumur 50an manakala isteri keduanya berumur 40an. Walaupun menurut kata Manja dia tidak begitu rapat dengan ibunya, dia tetap berasa sedih dan simpati kerana ibu terpaksa keseorangan dan tidak boleh bercerai dan memulakan hidup baru.

Manja mempunyai enam adik beradik, dan empat lagi adik dari perkahwinan kedua ayahnya. Melalui ceritanya, Manja hanya rapat dengan adiknya sendiri yang nombor 2. Dengan adik tersebutlah, Manja meluahkan perasaannya dan berbual lebih kerap. Yang lain tidak begitu rapat tetapi dianggap keluarga juga. Pada Hari Raya atau kenduri perkahwinan, mereka akan berkumpul bersama. Dengan itu, mereka bertemu dengan isteri kedua dan lama kelamaan mereka mula menerimanya. Kecuali ibu Manja, yang pada mulanya turut serta dan melawat rumah ayah (di mana ayahnya tinggal dengan isteri baru), tetapi lama kelamaan ibu Manja berhenti melawat bapanya.

Manja bersifat sedikit terbuka kepada amalan poligami. Walaubagaimanapun, Manja berpandangan yang wanita tidak diberi hak yang sama dan kerajaan harus masuk campur jika lelaki tidak dapat menyokong isteri-isteri dan keluarga-keluarganya.

Secara keseluruhan, tindakan ayah Manja yang hanya mementingkan diri sendiri telah meretakkan rumah tangga mereka dan memberi kesan yang mendalam kepada anak - anak. Salah seorang adik lelaki Manja cepat naik marah, mungkin akibat kesan psikologi. Anak-anak dari perkahwinan pertama tiada tempat mengadu dan memendam perasaan, sudah tentunya hanya akan meninggalkan kesan buruk. Nyata bahawa kehidupan berpoligami lebih membawa kepada kesusahan daripada kesenangan. Mahkamah Shariah juga tidak memainkan peranannya dengan berkesan, contohnya dalam mengenalpasti sama ada ayah Manja mampu menanggung dua isteri dan juga untuk mencepatkan tuntutan fasakh yang diminta oleh ibu Manja.