Undang-undang Poligami di Malaysia

Poligami seringkali dilihat sebagai hak setiap lelaki Islam dan sekiranya hak ini dicabar, ini bermakna bahawa seseorang itu mempertikaikan hukum Allah S.W.T. Tetapi adakah ini benar?

Ayat 3 Surah an-Nisa' jelas menunjukkan bahawa poligami itu bukanlah suatu hak mutlak kaum lelaki, sebaliknya ia adalah suatu tanggungjawab untuk menentukan bahawa keadilan sosial terhadap balu-balu dan anak-anak yatim dapat dilaksanakan dengan betul.

"Sekiranya kamu khuatir kamu tidak mampu berlaku adil terhadap anak-anak yatim, maka kahwinilah wanita-wanita pilihanmu, dua, atau tiga atau empat; akan tetapi sekiranya kamu khuatir kamu tidak dapat melayani mereka secara adil maka (kahwinilah) satu sahaja.......... lni adalah lebih sesuai bagi mencegah kamu daripada melakukan ketidak-adilan."

Penekanan al-Quran mengenai keadilan di dalam berpoligami disokong lagi dalam Ayat 129 Surah an-Nisa' yang bermaksud:

"Kamu tidak mampu berlaku adil di antara wanita, walaupun kamu bersungguh-sungguh berazam berbuat demikian.”

Sesungguhnya kita harus jelas bahawa poligami ini bukan diperkenalkan dengan turunnya Islam, sebaliknya budaya poligami ini telah berleluasa dalam budaya Arab sebelum kedatangan Islam lagi. Dengan turunnya Ayat 3 Surah an-Nisa', Allah S.W.T telah menghadkan poligami kepada 4 daripada tiada had langsung. Kita juga tidak harus lupa dalam konteks manakah ayat poligami ini diturunkan, iaitu selepas berlakunya perang Uhud dimana ramai wanita kematian suami dan anak yatim pada masa itu.

Pihak-pihak yang mengajukan amalan poligami sebagai tanda keimanan dan mengikut sunnah Nabi Muhammad S.A.W jelas lupa akan perkahwinan Nabi dengan Khadijah. Perkahwinan tersebut adalah secara monogami dan kekal sehingga akhir hayat Khadijah. Perkahwinan Nabi selepas kematian Khadijah adalah dengan balu-balu dan janda-janda, kecuali Aishah. Perkahwinan-perkahwinan seterusnya dilakukan atas sebab politik dan untuk menyatu-padukan kaum-kaum yang berperang pada masa itu.

Ramai juga yang mungkin lupa atau tidak tahu akan satu kisah yang diriwayatkan oleh lbn Majah yang menyatakan bahawa Rasulullah S.A.W tidak membenarkan Saidina Ali R.A berkahwin dengan seorang lagi perempuan kecuali Ali menceraikan Fatimah, anak perempuan beliau. Nabi mengatakan apa yang menyusahkan dan meresahkan Fatimah, akan menyusah dan meresahkan baginda juga dan apa yang memudaratkan Fatimah, memudaratkan baginda juga. Ini jelas menunjukkan bahawa bagi Nabi juga poligami ini bukanlah sesuatu yang menyenangkan. Baginda nyata sedar bahawa poligami itu akan menyakitkan anak perempuannya Fatimah. Adakah kita menyatakan bahawa Nabi Muhammad S.A.W melanggar perintah Allah S.W.T kerana tidak membenarkan Saidina Ali berkahwin seorang lagi?

Terdapat pihak-pihak tertentu yang berfikiran bahawa tiada sebarang dalil dalam al-Quran atau Hadith yang mewajibkan seorang suami meminta izin isteri pertama sebelum dia berkahwin seorang lagi. Ini kerana poligami itu adalah hak mutlak suami. Maka kenapa perlu minta kebenaran? Dikatakan suami tidak perlu berunding dengan isteri-isteri yang sedia ada. Tetapi, sekiranya hujah ini diterima bagaimanakah kita hendak menentukan perkahwinan poligami dapat memastikan keadilan sedangkan dari awal ketidakadilan telah berlaku? Adakah patut keizinan isteri yang sedia ada tidak diperolehi atau ia tidak diberitahu terlebih dahulu tentang hajat suami untuk berpoligami? Adakah isteri hanya seperti hamba yang tidak mempunyai hak langsung dalam perkahwinan itu?

Konsep poligami di Malaysia juga seringkali dikaitkan dengan nafsu lelaki. Dikatakan bahawa poligami adalah sebuah institusi yang dibenarkan oleh Islam untuk kaum lelaki memenuhi nafsu mereka secara sah. Seolah-olah jika menolak poligami bermakna seseorang itu seperti bersubahat memaksa lelaki dan perempuan berzina tanpa ikatan yang sah. Akan tetapi tidak ada sebarang ayat dalam al-Quran yang menyarankan poligami sebagai satu penyelesaian bagi masalah nafsu orang lelaki yang tidak terkawal. Undang-undang Malaysia juga tidak mengiktiraf nafsu sebagai satu syarat untuk berpoligami. Sebaliknya, ajaran Islam memberi penekanan kepada kawalan diri, disiplin dan kesucian rohani.

Poligami bukanlah satu jalan untuk mengatasi masalah keruntuhan akhlak sama ada dalam masyarakat Islam mahupun mana-mana masyarakat lain. Jika poligami dikatakan satu penyelesaian bagi masalah tersebut, maka masyarakat Islam di Malaysia dan negara-negara lain tentunya tidak lagi mengalami masalah-masalah sosial. Cara mengatasi apa yang dikatakan nafsu yang kuat ialah menukar sikap serta nilai kehidupan bahawa manusia telah dijadikan dengan akal yang sempurna dan mampu untuk mengawal nafsu dan mentaati perintah Allah S.W.T untuk beriman kepadaNya, berdisiplin dan menjalin sikap saling menghormati antara lelaki dan wanita.

Pada tahun 1984, Malaysia mempunyai salah satu Undang-undang Keluarga Islam yang progressif di kalangan negara-negara Islam. Kerajaan Persekutuan telah menggubal dan memperkenalkan, antara lain, pembatasan poligami bagi memastikan satu sistem yang adil diwujudkan di negara ini. Pelaksanaan konsep keadilan dalam undang-undang mengakibatkan keadaan di mana keputusan untuk berkahwin lebih daripada satu tidak lagi berada di tangan kaum lelaki. Pihak berkuasa negara yang menyandang tanggungjawab mentadbirkan keadilan kini diamanahkan dengan tugas agar meneliti permohonan untuk berpoligami bagi memastikan ianya memenuhi kehendak keadilan yang dimaksudkan dalam al-Quran. Undang-undang Keluarga Islam yang diperbaharui ini telah meletakkan lima syarat yang mesti dipenuhi supaya keadilan terlaksana, jika suami ingin berpoligami.

Lima syarat yang terkandung di dalam peruntukkan undang-undang yang asal adalah:

(a) bahawa perkahwinan yang dicadangkan itu adalah patut dan perlu, memandang kepada, antara lain, hal-hal keadaan yang berikut, iaitu, mandul, keuzuran jasmani, tidak layak dari segi jasmani untuk persetubuhan, sengaja ingkar mematuhi perintah untuk pemulihan hak-hak persetubuhan, atau gila di pihak isteri atau isteri-isteri yang sedia ada;

(b) bahawa pemohon mempunyai kemampuan yang membolehkan dia menanggung, sebagaimana dikehendaki oleh Hukum Syara', semua isteri dan orang tanggungannya, termasuk orang-orang yang akan menjadi orang-orang tanggungannya berikutan dengan perkahwinan yang dicadangkan itu;

(c) bahawa pemohon akan berupaya memberi layanan sama rata kepada semua isterinya mengikut kehendak Hukum Syara';

(d) bahawa perkahwinan yang dicadangkan itu tidak akan menyebabkan darar Syarie kepada isteri atau isteri-isteri yang sedia ada; dan

(e) bahawa perkahwinan yang dicadangkan itu tidak akan merendahkan secara langsung atau secara tak langsung taraf kehidupan yang telah dinikmati dan dijangka dengan munasabah akan dinikmati seterusnya oleh isteri atau isteri-isteri dan orang-orang tanggungannya yang sedia ada sekiranya perkahwinan itu berlaku.

Walaubagaimanapun, undang-undang tersebut tidak disenangi oleh banyak pihak terutamanya kaum lelaki yang menganggap bahawa undang-undang tersebut mengurangkan hak yang diberikan oleh Allah S.W.T. Maka, beberapa pindaan yang buruk telah dibuat kepada Undang-undang Keluarga Islam bermula dari tahun 1994 hinggalah ke tahun 2005. Pada tahun 1994, syarat poligami yang kelima telah dikeluarkan daripada peruntukan. Pada tahun 2005 pula, syarat bagi pemohon lelaki untuk membuktikan kepada mahkamah bahawa perkahwinan poligami adalah ‘patut dan perlu’ telah diubah kepada ‘patut atau perlu’. Pindaan-pindaan ini sekaligus telah menghakis hak wanita dan anak-anak mereka yang dahulunya lebih terjamin di bawah undang-undang 1984, khususnya dalam perkara-perkara berkaitan poligami dan perceraian.

Kerajaan perlu menyemak semula pindaan yang telah dibuat kepada Akta/Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam sejak 1994. Kelonggaran-kelonggaran yang ada di dalam Akta/Enakmen ini seharusnya diperketat dan dikemaskini, serta penguatkuasaan undang-undang dilaksanakan secara berkesan dan bersungguh-sungguh, terutama sekali syarat-syarat berpoligami. Selain daripada perkara undang-undang substantif, prosedur mahkamah yang jelas dan terperinci perlu diwujudkan di mahkamah Shariah.

Apabila Ayah Melebihkan Isteri Muda

Sayu hati saya melihatkan ibu. Wanita yang gigih mengharungi kehidupan ini tanpa suami di sisi, walaupun sebenarnya suaminya wujud. Ya..memang suaminya wujud, tapi bukan bersamanya tetapi bersama “isteri muda”.

Nama saya Zarul (bukan nama sebenar). Saya adalah anak isteri pertama dari keluarga yang berpoligami. Saya mempunyai seorang abang dan seorang adik perempuan. Hidup kami sekeluarga mewah sebenarnya. Ayah seorang yang berjawatan tinggi dan berpengaruh. Tetapi sejak ayah berpoligami, hidup kami serba kekurangan.

Sudah 17 tahun ayah berpoligami dan sejak itu juga la ayah mengabaikan tanggungjawabnya sebagai seorang suami dan ayah. Ibu? Wanita ini memang cekal. 17 tahun hidup bagai gantung tak bertali; ditinggalkan begitu sahaja; tiada lafaz cerai atau penjelasan dari ayah. Ayah ada memberi nafkah kepada kami sekeluarga tetapi tidak mencukupi untuk perbelanjaan makan minum, sewa rumah, duit belanja dan yuran universiti. Terpaksalah kami mengikat perut.

Saya pernah ke rumah ayah dengan isteri mudanya. Mereka hidup mewah. Ada tiga buah rumah besar, sedangkan kami masih menyewa. Berpindah-randah tapi masih tetap menyewa. Adilkah ayah buat begini pada kami? Tapi saya hanya berdiam diri kerana ibu cakap tak payah la kita nak buat kecoh sebab duit belanja kita hanya bergantung kepada ayah. Saya ikut cakap ibu sebab tak mahu ibu susah hati. Walaupun dalam hati ini memberontak.

Saya ingat lagi, bila mula sesi persekolahan, ibu lah orang yang paling sibuk menguruskan kami. Daftarkan urusan persekolahan, bayar yuran hingga lah aku dan adik berjaya melanjutkan pelajaran ke peringkat universiti. Ayah? Dia langsung tak ambil peduli. Dia hanya beri duit belanja, tidak kira la kalau waktu itu kami memerlukan lebih duit untuk sesi persekolahan baru atau hari raya. Kalau ibu minta lebih duit belanja, ayah akan mengamuk, naik angin kata ibu tak pandai berjimat sedangkan hakikatnya wang yang diberikan tidak mencukupi untuk kami sekeluarga.

Ada satu insiden yang saya tidak akan lupa sampai bila-bila. Satu hari saya kemalangan, dan dimasukkan ke hospital. Ayah langsung tidak datang melawat saya di hospital! Hati saya sangat sedih bila mengenangkan perbuatan ayah. Tidak ada sekelumit sayangkah kepada anaknya ini? Saya betul-betul sedih! Masa hari perbicaraan kes kemalangan juga ayah tidak hadir, malah semuanya ibu dan abang yang menguruskan. Ayah juga tidak hadir di hari konvokesyen saya. Bersama-sama meraikan kejayaan anaknya ini. Entahlah...hati ini bagai dihiris mengenangkan perangai ayah!

Oh..mungkin anda semua tertanya-tanya, di mana abang saya? Abang bekerja dengan ayah dan isteri mudanya. Kami di Kuala Lumpur manakala abang menetap di utara. Oleh sebab abang bekerja dengan ayah, maka abang hanya mendiamkan diri sahaja. Tapi abang selalu juga bertanya khabar tentang ibu, saya dan adik. Saya tak salahkan abang jika dia hanya mendiamkan diri kerana mungkin dia ingin menjaga periuk nasinya.

Bercerita tentang abang, ada satu peristiwa yang saya rasa ayah sangat melampau. Menidakkan hak ibu terhadap anaknya. Hari bersejarah dalam keluarga kami, bila abang berkahwin. Majlis resepsi sebelah lelaki diadakan di kediaman ayah di utara mengikut kehendak ayah. Saya, ibu dan adik sangat gembira, kami ingin datang ke majlis persandingan abang. Namun, ayah dan isteri mudanya menghalang ibu dari hadir ke majlis ini! Hancur luluh hati ibu..Sampainya hati ayah buat ibu begitu! Abang pula tiada pilihan lain selain mengikut cakap ayah. Aku tahu abang serba salah. Diluah mati mak ditelan mati ayah.

Adilkah ayah buat begitu kepada ibu? Saya bukan menentang poligami secara membabi-buta. Tapi kalau ini lah caranya, hingga ibu menderita; saya tak boleh terima. Ayah sepatutnya menjalankan poligami secara adil. Adil dalam segala-galanya. Ini tidak, dia hanya pentingkan isteri mudanya! Selagi boleh bertahan saya akan bertahan demi ibu tercinta.

Ayahku Kawin Lagi...

Ayah
Pernah dulu
Kamu sentiasa di hati

Ayah
Pernah dulu
Kamu yang sentiasa ada di sisi

Ayah
Pernah dulu
Sayang kamu tidak berbelah bagi
 

Tapi semua itu dulu
Tiada lagi semua itu

Kadang-kadang aku rasa marah
Kadang-kadang aku rasa benci
Mengapa perlu ada ”dia” di antara keluarga kita?



Nama aku Alias (bukan nama sebenar). Aku adalah anak daripada keluarga yang berpoligami. Mak adalah isteri pertama dan setelah setahun hidup berpoligami, ayah menceraikan mak. Aku sendri tidak faham kenapa ayah berpoligami. Entahlah, mungkin ayah ada sebabnya tersendiri.

Tidak dapat dinafikan sejak ayah berpoligami, dia banyak menghabiskan masa dengan ”mak muda”. Ayah selalu tiada pada hari-hari penting buat diriku. Majlis khatan, hari lahirku, ayah tiada di sisi, sedangkan hakikatnya aku masih punya ayah. Sedih, pedih dan kecewa semua bersatu. Aku marah dengan ayah. Kenapa dia seakan-akan lupa pada kami? Kenapa dia sentiasa di "sebelah sana"? Walaupun keluarga kami berada dalam situasi poligami selama setahun,  aku berasa bagaikan berkurun lamanya.

Bila ayah berpoligami, keluarga kami tidak seperti dulu lagi. Sering sahaja berlaku pertengkaran di antara mak dengan ayah. Tapi mak adalah seorang wanita yang sabar. 

Dia tidak mahu anak-anak risau tentang dirinya. Tapi mana mungkin anak-anak membiarkan mak sendiri bila ayah mula bertindak ganas.

Aku masih ingat satu hari bila berlaku perbalahan di antara ayah dengan abang. Pada masa itu abang cuba mempertahankan mak. Bertumbuk, bertendang, berterajang… Aku menjadi takut melihat kejadian itu lalu aku menangis sekuat hati.  Trauma menyelubungi diri. Zaman kanak-kanakku tiada palitan pelangi; yang ada cuma hitam, gelap. Tiada istilah gembira dalam hidupku.

Bercerita tentang abang, dia memang seorang yang berani; berani melawan cakap ayah, berani hendak belasah ayah. Pernah apabila ayah lakukan keganasan terhadap mak, abang ambil parang. Abang sentiasa melindungi emak dan adik-adiknya. 

Dulu aku sangat mengkagumi ayah. Aku sangat bangga dengan ayah. Ayah seorang ahli perniagaan yang berjaya. Selalu mengajar dan menggalakkan aku belajar Bahasa Inggeris, bertutur dalam Bahasa Inggeris. Aku akui hasil didikan ayahlah aku fasih berbahasa Inggeris. Tetapi sejak berpoligami, tiada lagi masanya untuk itu semua.

Sebelum mak dengan ayah bercerai, aku ada bertanya kepada ayah. Kenapa dia bukan ayah yang baik kepada kami? Tapi aku sedar mak adalah orang yang menjadi tali ikatan hubungan kami anak-beranak. Mak tidak suka anak-anaknya kurang ajar dengan ayah. Walau seburuk manapun, dia tetap ayah kepada kami. Sebab itu lah aku mesti lindungi mak.

Kadang-kadang aku ada terfikir untuk menjadi seperti ayah. Hidup berpoligami. Tetapi aku mahu laksanakan poligami yang adil; bukan yang ayah praktikkan. Kalau boleh aku nak ada empat isteri, kalu tidak mampu barulah tiga, dua atau satu. Isteri-isteri aku nanti duduk dalam satu rumah yang sama, saling hormat menghormati dan sepakat. Kalau berpoligami, aku akan mengambil balu atau janda yang ada anak seperti yang disebutkan dalam Al-Quran, sebagai isteri-isteriku.

Lelaki yang berpoligami haruslah menjadi pelindung dan pemberi nafkah. Kini aku mengkagumi apa yang Rasullullah SWT praktikkan. Pada aku hubungan suami isteri adalah seperti Ying dan Yang. Saling lengkap melengkapi. Hidup berumahtangga perlu dilimpahi dengan kasih sayang, bukan dengan keganasan.

Lagi Kisah Anak...

Manja (bukan nama sebenar) tinggal di Pekan Muar, Johor. Sejak kecil dia tinggal dengan datuknya dan bekerja di kilang. Ayah Manja telah berkahwin dua. Bermula dari itulah, keluarganya sibuin regang. Secara tidak langsung, akibat perbuatan ayahnya itu juga, dia juga telah berhenti bersekolah awal dan bekerja dari kecil. Manja tinggal di rumahnya sendiri yang berdekatan dengan rumah ayahnya, dan telah pun bercerai dengan suaminya, yang dikatakan seorang yang malas. Manja mempunyai seorang anak yang kini berada dalam darjah dua (8 tahun) dan menyara kehidupan dengan menjahit.

Pertama kali Manja mengenali wanita yang akan menjadi isteri kedua ayahnya, wanita tersebut telah bertunang dengan sepupu Manja. Oleh itu, tidak ada perkenalan formal yang dibuat di antara mereka dan seluruh kampung mengenali wanita tersebut. Tiada sesiapa dari ahli keluarga menyangka bahawa wanita itu akan menjadi ibu kedua bagi Manja. Ayahnya dengan wanita itu dikatakan berkawan secara senyap-senyap sehingga keluarga mereka pun tidak tahu tentangnya.

Manja mengaku hubungan keluarganya dari dulu tidak begitu rapat, tetapi apabila isteri kedua muncul, ia bertambah renggang. Apabila isteri kedua tiba, ramai saudara-mara marah dengan ayah Manja, terutamanya ibu Manja. Ibu Manja hendak bercerai, namun ayahnya tidak membenarkan.

Menurut Manja juga, ayah pada mulanya memberi wang kepada ibu, kemudian jarang-jarang dan seterusnya berhenti. Ayahnya tidak adil dalam pemberian nafkah zahir, dan memberi lebih kepada isteri mudanya. Katanya, isteri kedua ayah banyak mempengaruhi dan mengawal hidup ayahnya dan Manja juga berasa kasihan pada ayahnya walaupun marah juga. Oleh kerana Manja tinggal bersama datuknya, adiknya telah bercerita bahawa ayahnya kerap marah dan telah membawa wanita itu balik dan tidur di rumah walaupun mereka belum berkahwin lagi. Ibu Manja pernah berang dengan perangai ayahnya dan pernah mengejarnya dengan parang.

Amalan poligami itu berlaku juga dalam keluarga belah ayah Manja. Katanya, mereka pun ada kahwin dua dan kahwin-cerai. Tambahan pula, mereka adik-beradik pula bergaduh demi harta. Ayah Manja tinggal bersama isteri mudanya. Kini ayah berumur 50an manakala isteri keduanya berumur 40an. Walaupun menurut kata Manja dia tidak begitu rapat dengan ibunya, dia tetap berasa sedih dan simpati kerana ibu terpaksa keseorangan dan tidak boleh bercerai dan memulakan hidup baru.

Manja mempunyai enam adik beradik, dan empat lagi adik dari perkahwinan kedua ayahnya. Melalui ceritanya, Manja hanya rapat dengan adiknya sendiri yang nombor 2. Dengan adik tersebutlah, Manja meluahkan perasaannya dan berbual lebih kerap. Yang lain tidak begitu rapat tetapi dianggap keluarga juga. Pada Hari Raya atau kenduri perkahwinan, mereka akan berkumpul bersama. Dengan itu, mereka bertemu dengan isteri kedua dan lama kelamaan mereka mula menerimanya. Kecuali ibu Manja, yang pada mulanya turut serta dan melawat rumah ayah (di mana ayahnya tinggal dengan isteri baru), tetapi lama kelamaan ibu Manja berhenti melawat bapanya.

Manja bersifat sedikit terbuka kepada amalan poligami. Walaubagaimanapun, Manja berpandangan yang wanita tidak diberi hak yang sama dan kerajaan harus masuk campur jika lelaki tidak dapat menyokong isteri-isteri dan keluarga-keluarganya.

Secara keseluruhan, tindakan ayah Manja yang hanya mementingkan diri sendiri telah meretakkan rumah tangga mereka dan memberi kesan yang mendalam kepada anak - anak. Salah seorang adik lelaki Manja cepat naik marah, mungkin akibat kesan psikologi. Anak-anak dari perkahwinan pertama tiada tempat mengadu dan memendam perasaan, sudah tentunya hanya akan meninggalkan kesan buruk. Nyata bahawa kehidupan berpoligami lebih membawa kepada kesusahan daripada kesenangan. Mahkamah Shariah juga tidak memainkan peranannya dengan berkesan, contohnya dalam mengenalpasti sama ada ayah Manja mampu menanggung dua isteri dan juga untuk mencepatkan tuntutan fasakh yang diminta oleh ibu Manja.

Lagu Poligami - Udang Sama Udang

Udang sama Udang
(Versi lagu arwah Datin Rafeah Buang)

Udang sama udang

Mana sama anak tenggiri

Cinta suami orang

Pasti ada yang makan hati


Naik Bukit Bendera

Bukit Bendera di tempat tinggi

Kalau dah sama suka

Minta izin dari isteri


Dagang batang jerami

Kapal datang dan pergi

Jangan berpoligami

Kalau tidak seteguh hati

Saya Nantikan Ayah Pulang di Hari Raya


Cik Orkid (bukan nama sebenar), anak dari isteri kedua merupakan anak kedua dari 4 orang adik-beradik. Orkid sedar tentang perkahwinan poligami ayahnya sejak di bangku sekolah rendah lagi. Orkid tidak begitu mengenali dan rapat dengan keluarga isteri pertama ayahnya. Perhubungan mereka setakat menyambut Hari Raya, itupun sekadar menghantar kad raya. Isteri pertama hanya akan berhubung apabila ada hal-hal yang penting seperti isu harta arwah suami. Orkid tidak pernah melihat isteri pertama ayah mereka. Jarak usia antara anak-anak isteri pertama dengan isteri kedua juga jauh kecuali usia anak perempuan isteri pertama yang bezanya hanya setahun dengan Orkid.

Pada zaman persekolahan, tugas utama ayah adalah menghantar mereka ke sekolah tetapi ibu akan mengendalikan hal-hal persekolahan seperti mengambil report kad kerana tempat kerja ibu lebih dekat dengan sekolah berbanding ayah yang bekerja di Batu Pahat. Disebabkan jarak yang jauh, ayah tidak mempunyai masa untuk menjemput Orkid dari sekolah. Ayah merupakan seorang pegawai kastam. Hanya selepas kerja beliau akan sampai ke rumah pada pukul 6 petang. Ibu pula bekerja sebagai jururawat yang mengikut syif kerja. Kadang-kala beliau bertugas pada syif malam dan mempunyai masa yang terluang pada waktu pagi untuk mengendalikan hal persekolahan anak-anak.

Semasa kecil, ayah sering meluangkan masa bersama-sama keluarga Orkid tetapi pada hari minggu beliau akan pulang ke rumah isteri pertama. Jika keadaan mengizinkan, ayah akan meluangkan hari minggu dengan kami. Ayah tidak pernah menyambut Hari Raya dengan keluarga isteri kedua. Orkid cuba berfikiran positif - berkemungkinan ayah telah melakukan perjanjian dengan isteri pertama. Walaupun tidak menyambut Hari Raya bersama, Orkid tetap berasa terkilan kerana kebanyakan masa ayah ada di rumah kami. Ibu Orkid kelihatan sedih kerana suami tidak menyambut Hari Raya bersama-sama. Oleh itu, sejak kecil lagi, pada pagi Raya mereka akan ke rumah saudara-mara untuk berziarah. Namun begitu, ayah mereka pernah sekali berjaya menyambut Raya hari kedua dengan mereka. Walaupun ia adalah sekali sahaja tetapi pengalaman tersebut masih dikenang dan dihargai.

Ayah kadang-kala membezakan anak-anak isteri pertama dan kedua, seperti memberi tekanan atau cabaran kepada anak-anak isteri kedua untuk melakukan lebih baik daripada anak-anak isteri pertama. Orkid menerima cabaran untuk belajar lebih tekun. Dia berusaha keras dan ingin melanjutkan pelajaran lebih tinggi kerana hendak menunjukkan kepada ayah kebolehan adik- beradiknya.

Orkid juga percaya kualiti kehidupan keluarga dan perkahwinan adalah penting. Hubungan kekeluargaan mereka sangat erat. Mereka berkongsi segala-gala (wang dan cerita) sesama adik-beradik. Kakak Orkid telah menanggung segala-gala semenjak ibu mereka meninggal dunia kira-kira 11 tahun yang lalu. Pada pendapat beliau, kakak mereka ialah seorang yang lembut tetapi tegas dan mempunyai hati yang cekal dan keras. Adik-beradik banyak memberi sokongan emosi disebabkan beban kakak yang berat. Selepas kakak berkahwin, adik-beradik berasa ia adalah masa untuk menanggung kos pembelajaran kakak kerana kakak telah berhenti kerja. Orkid berpendapat bahawa kakak perlu mengikut suami apabila berkahwin. Namun, kakak mereka tidak melepaskan tanggungjawab beliau kepada adik-beradiknya.

Orkid tidak begitu kisah ayah mereka berpoligami kerana ayah tetap menjalankan tanggungjawabnya. Apabila Orkid berkahwin pada masa hadapan, beliau tidak akan menyokong suaminya mengambil isteri kedua. Orkid percaya suami perlu mendengar pendapat isterinya. Beliau mahukan seseorang yang boleh memahami beliau dan menerima keluarganya. Sekiranya tidak dapat menerima, walaubagaimana sayang pun, Orkid tidak akan berkahwin. Sekiranya berselisih pendapat, beliau berasa kedua-dua pihak perlu berbincang dengan tenang. Selain itu, beliau tidak mahu jatuh hati dengan suami orang dan sanggup tidak berkahwin seumur hidup. Orkid inginkan kehidupan yang sederhana di mana suami dapat memenuhi keperluan beliau dan anak-anak, walau bukan seseorang yang kaya dari segi material. Beliau tidak mahu apa yang telah berlaku kepada ibunya, berulang kepada adik-beradiknya. Ibunya sanggup berkorban kerana beliau amat menyayangi suaminya. Walaupun ibunya boleh berkahwin semula kerana beban menanggung empat orang anak selepas suaminya meninggal dunia, beliau tetap tidak berkahwin lagi kerana ingin berjumpa arwah suaminya di akhirat.

Ibu mereka tidak pernah mengungkit cerita kenapa berkahwin dengan ayah yang telah mempunyai isteri. Orkid juga tidak berasa tertekan hidup dalam keluarga berpoligami. Namun Orkid tetap sedih melihat ibunya tidak gembira pada malam-malam raya. Walaupun ibunya mengukir senyuman, ia tidak bermaksud yang beliau berasa gembira. Orkid merasakan isteri pertama ayah mementingkan diri sendiri. Contohnya, peristiwa adik Orkid yang ketiga jatuh sakit pada malam raya dan terpaksa masuk hospital. Isteri pertama marah ayah kerana sepatutnya dia meluangkan masa dengan mereka dan isteri kedua juga marah kerana suaminya tidak berada di sisi anaknya yang sakit. Ayah menganggap ibu dapat menghadapinya kerana ibu Orkid ialah seorang jururawat dan kenal dengan orang di Hospital Muar. Ibu bapa Orkid juga pernah bergaduh pada malam-malam raya.

Isteri pertama ayah tidak bekerja. Gaji ibu Orkid lebih tinggi dari ayahnya. Oleh demikian, beliau banyak menanggung anak-anak. Isteri kedua berhenti kerja dan mula menceburi bidang perniagaan. Ayah telah berkorban dengan mengeluarkan duit yang banyak sebagai modal. Kemudian, ibu bekerja dengan pihak swasta sebagai Pengawal Kualiti Bahan Perubatan.

Masalah pembahagian harta ayah Orkid tidak selesai sehingga kini. Abang dari anak isteri pertama mampu menggunakan kereta Mercedes Benz walaupun hanya bekerja sebagai pensyarah. Namun beliau tetap inginkan harta arwah ayah dan berebut dua buah rumah ayah di Johor Bharu. Tanah di Perak pula dibahagikan kepada adik-adik. Abang tidak mahu membahagikan tanah tersebut mengikut sistem Faraid. Lebih malang lagi, ayah tidak membuat apa-apa wasiat. Semua harta adalah atas nama bapa. Isteri pertama ayah mendapat pecahan lebih banyak dan anak-anak mendapat kurang sikit. Aset ibu hanyalah daripada arwah ayah beliau. Ibu mereka tidak mempunyai pencen kerana berhenti kerja sebelum 55 tahun dan tidak layak mendapat keistimewaan itu. Beliau juga meninggal secara mengejut.

Orkid sedar tentang syarat-syarat berpoligami tetapi ia tidak efektif. Dalam agama Islam memang boleh berkahwin empat orang isteri dan undang-undang tidak dapat menyekatnya. Beliau juga sedar tentang Darar Shar’ie iaitu kekurangan bayaran kepada isteri boleh mengakibatkan mutu kehidupan menurun menurun dan peranan suami sebagai membayar nafkah. Orkid hanya meminta nasihat daripada adik-beradiknya, bukan kawan-kawan atau pihak guaman. Beliau merasakan perlunya bantuan kewangan kepada keluarga yang berpoligami walaupun keluarga beliau tidak meminta apa-apa bantuan.

Kesimpulannya, Orkid menyalahkan lelaki kerana tidak dapat mengawal nafsu mereka dan bukannya menuduh isteri kedua sebagai perampas kebahagian keluarga pihak pertama. Beliau berpendapat suami atau bapa tidak akan boleh berlaku adil kepada semua isteri dan anak-anak dalam perkahwinan poligami. Beliau tidak akan menyarankan poligami sebagai bentuk institusi perkahwinan kerana ia menjejaskan mutu kehidupan. Orkid merasakan peranan ibu adalah penting dalam mengendalikan kehidupan berpoligami, supaya tidak mempengaruhi anak-anak mereka. Setengah-setengah anak melepaskan tekanan mereka secara negatif seperti mengunjungi kelab malam. Oleh itu, keluarga yang berpoligami juga memerlukan bantuan kaunseling yang lebih.

I Dropped Out of College Because My Father Took On Another Wife


I’m a son of the first wife in a polygamous marriage. I don’t really know when my father took a second wife because my parents don’t share information freely with their children. All I know is that when I was around twenty years of age, my mother’s personality changed and she became very quick-tempered. I also notice that since then, her relationship with my father has been rather tense.

While I was studying in a college in Perak, I came home on a semester break. My mother broke down into tears and told me that my father had taken another wife. That was in 2006, and I was 21 years of age at the time.

The effect it had on me
Thinking back, my mother’s revelation and witnessing her distress could have been one of the factors which caused me to drop out of the course I had enrolled into after school.

As far as I can remember, we didn’t encounter any financial difficulties, mainly because my mother worked as a primary school teacher to supplement the family income. But the situation changed when in 2006 my mother stopped work citing health reasons. Now that I’ve started college again – in Melaka – I’m forced to seek financial assistance from my father. But he gets upset each time I ask for money.

My father’s a school teacher too – he teaches Chemistry in a secondary school. Once, some time ago, I asked my father for some money to cover my financial commitments. He became angry saying that he could not afford the sum. On the same day, my mother rifled through his belongings and found a receipt for RM700. It was quite obvious that he had gone on a shopping spree ... with his other wife. My mother and I were struck by the unfairness of it all. I thought it was completely unjust, and felt deeply saddened by the whole incident.

My mother
My mother, like me, keeps most of her thoughts and emotions to herself. She seldom confides in anyone. But lately, I notice that mother has been talking quite a bit about things that go on around her to my sister – ever since the latter turned 21. My sister, in turn, relays information about my mother to me (writer: Amer has 2 younger sisters and 1 elder brother – there are four children altogether). This has helped me understand my mother a little better.

Family dynamics
I suppose I still respect him, as he is my father after all. But I love and respect my mother more. I pity her all that she has to go through. I think that every son should be able to look up to his father. A father should be his son’s hero. But my illusion crumbled the day my mother cried and told me about his taking another wife.

Whenever my mother complains about my father to me I feel sad and wonder why he has changed so much. Although I still respect him, my love for him has lessened and our relationship is now rather strained and distant. We hardly talk anymore. I can’t help but compare this with the times when he used to ask me to accompany him on walks, or when we’d have a coffee together – we used to share a certain closeness. Nowadays those activities together don’t exist anymore. They stopped when I was about 18 years of age. I don’t complain about it at all, not even to my mother. Most times I simply don’t feel like sharing my feelings with anyone.

I’m actually the second child in my family. My elder brother doesn’t seem to care as much about our family situation because he studied overseas and lived away most of the time. Moreover, he’s a working man now and seldom comes home.

My father is not the kind of person who likes going out or travelling. If he did take a vacation, it would only be during the end year (long) school holidays. I can recall only 3 or 4 times that he has taken us to Kuala Lumpur (KL). My own mother and I live in Kelantan, and to the best of my knowledge so does his second wife.

Thoughts on polygamy
I wouldn’t encourage my sisters to become second wives. Even if a colleague were to ask for my advice, I would warn him that there were more disadvantages than advantages. I’m not too concerned about the financial aspect – I have problems with the concept of dividing up love. If you can’t measure something (e.g. love), how could you possibly divide it? I feel the same way about the notion of time. My father does not return home for a few nights each week – and when he does, he brings his work home (as he’s a teacher).

I’ve never heard my mother argue with my father, though she did say to me once, “please grow up quickly, and find a decent job as fast as possible –I would like to live with you in your own home some day.” I’m guessing that something my father had said or done that day had caused her to become upset and worried. I have never brought up the matter to my father.

Arrangements
When it comes to Raya (Aidil Fitri) celebrations, my father is at our home on all 3 days. We usually visit his relatives on the first day, then my mother’s relatives in her village on the second day. On the third day, we’d all stay at home. After those 3 days are over, then only would he proceed to go off to his second wife’s home.

I’ve never met my stepmother, and I’m not sure if she has borne any children with my father. I know that she once expressed a desire to come and visit us – there was a religious event being planned in our home – but my mother forbade it. I don’t know if my mother has ever met her. It’s inevitable I suppose that I’ll meet up with her some day, but I shall never regard her as my mother. I prefer to treat her like an aunt.

Emotions
On the one hand I don’t think I feel raging anger towards my father over what he did. On the other hand, I did not do well and dropped out of the first college (UTP in Perak)) I attended because I wanted to ‘get back’ at him (he used “dendam”). My younger sibling must feel the same way because he too acted up while attending college in another state (ITM in Dungun).

I notice that my mother has become more religious now. She wakes up at 4am on most days to pray. I carry out my religious obligations and pray too – very often I pray for my mother’s happiness.