Undang-undang Poligami di Malaysia

Poligami seringkali dilihat sebagai hak setiap lelaki Islam dan sekiranya hak ini dicabar, ini bermakna bahawa seseorang itu mempertikaikan hukum Allah S.W.T. Tetapi adakah ini benar?

Ayat 3 Surah an-Nisa' jelas menunjukkan bahawa poligami itu bukanlah suatu hak mutlak kaum lelaki, sebaliknya ia adalah suatu tanggungjawab untuk menentukan bahawa keadilan sosial terhadap balu-balu dan anak-anak yatim dapat dilaksanakan dengan betul.

"Sekiranya kamu khuatir kamu tidak mampu berlaku adil terhadap anak-anak yatim, maka kahwinilah wanita-wanita pilihanmu, dua, atau tiga atau empat; akan tetapi sekiranya kamu khuatir kamu tidak dapat melayani mereka secara adil maka (kahwinilah) satu sahaja.......... lni adalah lebih sesuai bagi mencegah kamu daripada melakukan ketidak-adilan."

Penekanan al-Quran mengenai keadilan di dalam berpoligami disokong lagi dalam Ayat 129 Surah an-Nisa' yang bermaksud:

"Kamu tidak mampu berlaku adil di antara wanita, walaupun kamu bersungguh-sungguh berazam berbuat demikian.”

Sesungguhnya kita harus jelas bahawa poligami ini bukan diperkenalkan dengan turunnya Islam, sebaliknya budaya poligami ini telah berleluasa dalam budaya Arab sebelum kedatangan Islam lagi. Dengan turunnya Ayat 3 Surah an-Nisa', Allah S.W.T telah menghadkan poligami kepada 4 daripada tiada had langsung. Kita juga tidak harus lupa dalam konteks manakah ayat poligami ini diturunkan, iaitu selepas berlakunya perang Uhud dimana ramai wanita kematian suami dan anak yatim pada masa itu.

Pihak-pihak yang mengajukan amalan poligami sebagai tanda keimanan dan mengikut sunnah Nabi Muhammad S.A.W jelas lupa akan perkahwinan Nabi dengan Khadijah. Perkahwinan tersebut adalah secara monogami dan kekal sehingga akhir hayat Khadijah. Perkahwinan Nabi selepas kematian Khadijah adalah dengan balu-balu dan janda-janda, kecuali Aishah. Perkahwinan-perkahwinan seterusnya dilakukan atas sebab politik dan untuk menyatu-padukan kaum-kaum yang berperang pada masa itu.

Ramai juga yang mungkin lupa atau tidak tahu akan satu kisah yang diriwayatkan oleh lbn Majah yang menyatakan bahawa Rasulullah S.A.W tidak membenarkan Saidina Ali R.A berkahwin dengan seorang lagi perempuan kecuali Ali menceraikan Fatimah, anak perempuan beliau. Nabi mengatakan apa yang menyusahkan dan meresahkan Fatimah, akan menyusah dan meresahkan baginda juga dan apa yang memudaratkan Fatimah, memudaratkan baginda juga. Ini jelas menunjukkan bahawa bagi Nabi juga poligami ini bukanlah sesuatu yang menyenangkan. Baginda nyata sedar bahawa poligami itu akan menyakitkan anak perempuannya Fatimah. Adakah kita menyatakan bahawa Nabi Muhammad S.A.W melanggar perintah Allah S.W.T kerana tidak membenarkan Saidina Ali berkahwin seorang lagi?

Terdapat pihak-pihak tertentu yang berfikiran bahawa tiada sebarang dalil dalam al-Quran atau Hadith yang mewajibkan seorang suami meminta izin isteri pertama sebelum dia berkahwin seorang lagi. Ini kerana poligami itu adalah hak mutlak suami. Maka kenapa perlu minta kebenaran? Dikatakan suami tidak perlu berunding dengan isteri-isteri yang sedia ada. Tetapi, sekiranya hujah ini diterima bagaimanakah kita hendak menentukan perkahwinan poligami dapat memastikan keadilan sedangkan dari awal ketidakadilan telah berlaku? Adakah patut keizinan isteri yang sedia ada tidak diperolehi atau ia tidak diberitahu terlebih dahulu tentang hajat suami untuk berpoligami? Adakah isteri hanya seperti hamba yang tidak mempunyai hak langsung dalam perkahwinan itu?

Konsep poligami di Malaysia juga seringkali dikaitkan dengan nafsu lelaki. Dikatakan bahawa poligami adalah sebuah institusi yang dibenarkan oleh Islam untuk kaum lelaki memenuhi nafsu mereka secara sah. Seolah-olah jika menolak poligami bermakna seseorang itu seperti bersubahat memaksa lelaki dan perempuan berzina tanpa ikatan yang sah. Akan tetapi tidak ada sebarang ayat dalam al-Quran yang menyarankan poligami sebagai satu penyelesaian bagi masalah nafsu orang lelaki yang tidak terkawal. Undang-undang Malaysia juga tidak mengiktiraf nafsu sebagai satu syarat untuk berpoligami. Sebaliknya, ajaran Islam memberi penekanan kepada kawalan diri, disiplin dan kesucian rohani.

Poligami bukanlah satu jalan untuk mengatasi masalah keruntuhan akhlak sama ada dalam masyarakat Islam mahupun mana-mana masyarakat lain. Jika poligami dikatakan satu penyelesaian bagi masalah tersebut, maka masyarakat Islam di Malaysia dan negara-negara lain tentunya tidak lagi mengalami masalah-masalah sosial. Cara mengatasi apa yang dikatakan nafsu yang kuat ialah menukar sikap serta nilai kehidupan bahawa manusia telah dijadikan dengan akal yang sempurna dan mampu untuk mengawal nafsu dan mentaati perintah Allah S.W.T untuk beriman kepadaNya, berdisiplin dan menjalin sikap saling menghormati antara lelaki dan wanita.

Pada tahun 1984, Malaysia mempunyai salah satu Undang-undang Keluarga Islam yang progressif di kalangan negara-negara Islam. Kerajaan Persekutuan telah menggubal dan memperkenalkan, antara lain, pembatasan poligami bagi memastikan satu sistem yang adil diwujudkan di negara ini. Pelaksanaan konsep keadilan dalam undang-undang mengakibatkan keadaan di mana keputusan untuk berkahwin lebih daripada satu tidak lagi berada di tangan kaum lelaki. Pihak berkuasa negara yang menyandang tanggungjawab mentadbirkan keadilan kini diamanahkan dengan tugas agar meneliti permohonan untuk berpoligami bagi memastikan ianya memenuhi kehendak keadilan yang dimaksudkan dalam al-Quran. Undang-undang Keluarga Islam yang diperbaharui ini telah meletakkan lima syarat yang mesti dipenuhi supaya keadilan terlaksana, jika suami ingin berpoligami.

Lima syarat yang terkandung di dalam peruntukkan undang-undang yang asal adalah:

(a) bahawa perkahwinan yang dicadangkan itu adalah patut dan perlu, memandang kepada, antara lain, hal-hal keadaan yang berikut, iaitu, mandul, keuzuran jasmani, tidak layak dari segi jasmani untuk persetubuhan, sengaja ingkar mematuhi perintah untuk pemulihan hak-hak persetubuhan, atau gila di pihak isteri atau isteri-isteri yang sedia ada;

(b) bahawa pemohon mempunyai kemampuan yang membolehkan dia menanggung, sebagaimana dikehendaki oleh Hukum Syara', semua isteri dan orang tanggungannya, termasuk orang-orang yang akan menjadi orang-orang tanggungannya berikutan dengan perkahwinan yang dicadangkan itu;

(c) bahawa pemohon akan berupaya memberi layanan sama rata kepada semua isterinya mengikut kehendak Hukum Syara';

(d) bahawa perkahwinan yang dicadangkan itu tidak akan menyebabkan darar Syarie kepada isteri atau isteri-isteri yang sedia ada; dan

(e) bahawa perkahwinan yang dicadangkan itu tidak akan merendahkan secara langsung atau secara tak langsung taraf kehidupan yang telah dinikmati dan dijangka dengan munasabah akan dinikmati seterusnya oleh isteri atau isteri-isteri dan orang-orang tanggungannya yang sedia ada sekiranya perkahwinan itu berlaku.

Walaubagaimanapun, undang-undang tersebut tidak disenangi oleh banyak pihak terutamanya kaum lelaki yang menganggap bahawa undang-undang tersebut mengurangkan hak yang diberikan oleh Allah S.W.T. Maka, beberapa pindaan yang buruk telah dibuat kepada Undang-undang Keluarga Islam bermula dari tahun 1994 hinggalah ke tahun 2005. Pada tahun 1994, syarat poligami yang kelima telah dikeluarkan daripada peruntukan. Pada tahun 2005 pula, syarat bagi pemohon lelaki untuk membuktikan kepada mahkamah bahawa perkahwinan poligami adalah ‘patut dan perlu’ telah diubah kepada ‘patut atau perlu’. Pindaan-pindaan ini sekaligus telah menghakis hak wanita dan anak-anak mereka yang dahulunya lebih terjamin di bawah undang-undang 1984, khususnya dalam perkara-perkara berkaitan poligami dan perceraian.

Kerajaan perlu menyemak semula pindaan yang telah dibuat kepada Akta/Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam sejak 1994. Kelonggaran-kelonggaran yang ada di dalam Akta/Enakmen ini seharusnya diperketat dan dikemaskini, serta penguatkuasaan undang-undang dilaksanakan secara berkesan dan bersungguh-sungguh, terutama sekali syarat-syarat berpoligami. Selain daripada perkara undang-undang substantif, prosedur mahkamah yang jelas dan terperinci perlu diwujudkan di mahkamah Shariah.

5 comments:

  1. 1. Bukannya orang lain yang menentukan bahawa seseorang itu mampu. Orang yang berkahwin itu sendirilah yang menilai dirinya sendiri. Sebarang isu-isu perkahwinan (bukan sahaja poligami) boleh dirujuk di pejabat agama.
    @. Memang sudah terang-terang disebutkan dalam surah yang sama iaitu seorang lelaki yang berpoligami TIDAK AKAN dapat adil walaupun dia cuba sedaya upaya (sebab hati dan perasaan wanita-wanita dibawah tanggungjawabnya bukan statik), jadi yang dianjurkan (dalam ayat yang sama) bahawa seorang lelaki itu at a minimum cuba supaya jangan sampai terlalu terumbang-ambing kehidupan keluarganya. "HOW" itu tertakluklah kepada kebijaksanaan lelaki tersebut.

    3. Hadis tentang Nabi menentang Fatimah dimadukan itu BUKANNYA SEBAB POLIGAMI. Tetapi melarang KELUARGA NABI dikumpulkan dengan KELUARGA MUSUH ISLAM. Please study habis-habis dulu.

    4.Hak seorang isteri adalah kepada suaminya. Syurga seorang isteri adalah dibawah redha suaminya. Hak talak dan nikah hanyalah diatas seorang lelaki.

    5.Kalau nak bercerita perasaan seorang wanita, sampai tahun 2020 pun takkan habis sebab seorang wanita itu 90% perasaan/nafsu. Dalam hal perkahwinan (BUKAN sahaja poligami) jika ada masalah, boleh rujuk pejabat agama. Inilah juga syariat Islam. Jangan jadi isteri derhaka atau mengaibkan keluarga/atau suami sendiri.

    6. Yang lain tu cumalah pendapat golongan yang anti-poligami. Tidak ada wanita yang waras yang mahu berkongsi suami. Sampai kiamat pun kalau cakap tentang perasaan takkan habis.

    7. Guidelines Mahkamah Syariah cumalah guidelines dunia. Doesn't supercede syariat Islam. Jangan jadi munafik/murtad kerana menidakkan poligami.

    ReplyDelete
  2. This comment has been removed by the author.

    ReplyDelete
  3. 1. Saya setuju yang bukannya orang lain yang menentukan bahawa seseorang itu mampu. Kita harus jujur dengan diri sendiri samada niat berpoligami untuk mengelak zina (kerana gagal menundukkan pandangan dan tidak mampu berpuasa), mengikut sunnah Nabi (setelah sunnah-sunnah lain diikut) atau sekadar escapism dari masalah keluarga semasa. There must be a reason dalam disebut kamu memang tak mampu adil sekalipun kamu mencuba – it implies that polygamy is not encouraged.
    2. Saya tak study habis lagi tapi jika tidak ingin mengumpul musuh dalam keluarga RasulAllah, maka Saidina Ali RA bolehlah berkahwin dengan orang lain. Tapi adakah Saidina Ali memilih wanita lain yang bukan musuh sebagai madu Fatimah RA?
    3. Pemahaman saya yang jahil dan kurang arif ini, hak talak dan nikah seorang isteri tidak semestinya di tangan suaminya. Saya dah ada 2 pengalaman di mana isteri boleh menuntut cerai dari suami yang tidak menjalankan tanggungjawap dan zalim dan hakim membenarkan pembubaran perkahwinan. Syurga seorang isteri adalah di bawah redha suaminya? Mentaati ibu bapa balasannya syurga. Dalam hadis-hadis, Rasulullah SAW menjanjikan syurga bagi mereka yang taat kepada kedua ibunya. Janji syurga di bawah telapak kaki suami belum saya yang jahil ini temui, namun cukuplah menjadi seorang isteri itu ahli syurga dengan mentaati suaminya, yang demikian cukup banyak ayat al-Quran dan hadis baginda.
    Allah SWT berfirman yang bermaksud: Wanita (isteri) solehah adalah yang taat lagi memelihara diri ketika suaminya tidak ada dikeranakan Allah telah memelihara mereka. (al-Nisa': 34).
    Perlukah taat pada suami yang fasik dan zalim?
    4. Jika suami mahu perasaannya dihormati dan dihargai, bukankah dia patut menghargai dan menghormati perasaan isterinya? How can you claim to love somebody and yet do something that you know would hurt her?.
    5. Saya juga pernah berkata tidak ada wanita yang waras yang mahu berkongsi suami – bukan sekadar dari pengalaman sekejap berpoligami tapi sebagai penyelidik yang menemubual suami, isteri pertama, kedua, ketiga dan anak-anak dari keluarga berpoligami, statistik dari JAKIM menunjukkan institusi keluarga Muslim di Malaysia yang semakin ampuh dan rapuh Antara puncanya ialah peningkatan konflik dan pergaduhan terutama setelah berpoligami. Keluarga monogami pun bermasalah – kalau poligami bukankah double atau triple? Lebih baik tingkatkan ilmu untuk jadi imam yang boleh membimbing keluarga sakinah, mawaddah dan rahmah. Tingkatkan kepakaran ilmuan agar umat Islam dihormati kerana tradisi ilmuan, daripada berbalah soal kawin cerai.
    6. Islam bukan agama menghukum, tapi menegakkan keadilan dan membela wanita dan kanak-kanak, jika poligami boleh mengabaikan hak wanita dan menyebabkan kezaliman pada anak-anak, apakah kita boleh menghukum orang yang tidak menerima poligami sebagai murtad? Kita belum tahu orang tersebut mungkin mendapat khusnul khatimah di akhir hayatnya berbanding kita yang sibuk menghukum. Baik kita saling mendoakan kebaikan.

    ReplyDelete
  4. Dapatkan Ebook mudahnya berpoligami di blog saya jom !

    http://xmuhammadx.blogspot.com/2015/01/mudah-sangat-nak-berpoligami.html

    ReplyDelete
  5. 1. siapa kamu nak kata poligami tak digalakkan dalam islam? sahabat2 nabi boleh kata majority amalkan poligami. masalah feminis dan anti poligami mereka suka ukur berdasarkan emosi mereka sedangkan Allah dah bagi kebebasan untuk orang lelaki amalkan poligami atau tak. jangan mendahului tuhan!
    2. soalan hipotesis kamu ni jawapannya ya, Ali boleh berkahwin dengan orang lain. kamu kena paham kedudukan bapa mertua Ali iaitu Rasulullah bukan macam bapa mertua orang lain. elok kamu paham tingkat ketaatan sebelum nak jadikan sirah sebagai contoh untuk sokong hujah separuh masak feminis dan anti poligami. tingkat ketaatan dalam islam : 1. Allah 2. Rasulullah 3. ibu 4. bapa 5. ulil amri (pemimpin islam). kalau perempuan no 3 tu otomatik jadik suaminya. maka jangan samakan kedudukan rasulullah selaku bapa mertua dengan bapa mertua yang lain!
    3. mungkin kamu tak jumpa atau tak mau jumpa. maka renunglah hadis nabi ni “Andainya aku ini orang yang menyuruh sesiapa supaya bersujud kepada orang,pasti aku menyuruh isteri itu bersujud kepada suami mereka”. tengok sampai tahap suruh sujud kalau nabi dibolehkan. sebab tu ada konsep mas kahwin dan nafkah supaya kaum wanita dilindungi dari dia kecik di bawah jagaan ayahnya sampai dia besar dan kahwin. dan balasannya adalah ketaatan selagi tidak melanggar syarak,
    4. seseorang yang mengaku islam mestilah redha dengan segala ajarannya tak kira lelaki atau perempuan. salah satu ajarannya adalah dibolehkan poligami. suka tak suka maka kaum perempuan perlulah redha bahawa poligami tu dibenarkan dan ianya adalah HAK suami. nabi dan sahabat2 TIDAK pernah meminta izin dari isteri2 baginda bila nak berpoligami. kalaulah kaum perempuan betul2 benci dengan poligami, adakah kaum lelaki boleh juga benci dengan nafkah? tak ada agama lain selain islam yang menekankan nafkah lelaki terhadap tanggungannya. ianya adalah wajib bahkan jatuh dosa besar kalau tak bagi. cuba kaum perempuan pikir sejenak dan letak diri di tempat lelaki ingat mudah ke membanting tulang bekerja seharian dan di akhirnya boleh dikatakan 90% hasil pendapatan dihabiskan untuk keperluan keluarga dan kehidupan. maka elok la lelaki dan perempuan masing2 memikirkan untuk tunaikan tanggungjawab seperti dinyata dalam quran. dunia hari ni huru-hara sebagai masing2 sibuk tuntut HAK tetapi terlupa nak laksanakan TANGGUNGJAWAB.
    5. boleh bagitau statistic apa yang menyokong. saya ingat puan ni main petik je. terutama ayat "Antara puncanya ialah peningkatan konflik dan pergaduhan terutama setelah berpoligami". lepas tu boleh pula buat kesimpulan kalau berpoligami masalahnya pasti double, triple. saya tak paham macam mana puan boleh dapat title dr hanya dengan kajian berdasarkan andaian. mungkin saya pun boleh sambung phd lepas ni. memandangkan puan main sweeping statement, maka saya pun bolehlah juga guna sweeping statement dengan menyatakan bahawa institusi kekeluargaan di Malaysia dan negara2 islam yang membenarkan poligami jauh lebih baik berbanding institusi kekeluargaan di Amerika Syarikat yang tak membenarkan poligami. rasanya ini tak perlu kajian sebab kalau jumpa atau kenal mat saleh amat jarang yang kahwin sekali seumur hidup. bahkan peguam kahwin cerai boleh dikatakan kerjaya yang menguntungkan di barat.
    6. lagi sekali siapa puan dr untuk mengatakan poligami mengabaikan hak wanita? hak wanita mana yang dr refer ni? dari kaca mata feminis atau islam? kalau nak cerita hak, maka kena cerita tanggungjawab juga. sama macam orang yang bekerja dengan sesuatu majikan. ada hak dan tanggungjawab. jangan nak cerita hak aja iaitu nak dapat gaji, bonus, cuti, pangkat dll. tapi bila part tanggungjawab iaitu kerja rajin, amanah, tak ngular tak nipu masing2 diam seribu bahasa. lepas tu dr pulak terasa panas punggung rasa murtad kalau tak terima poligami? itu puan jawab sendiri la.

    ReplyDelete