Ayahku Kawin Lagi...

Ayah
Pernah dulu
Kamu sentiasa di hati

Ayah
Pernah dulu
Kamu yang sentiasa ada di sisi

Ayah
Pernah dulu
Sayang kamu tidak berbelah bagi
 

Tapi semua itu dulu
Tiada lagi semua itu

Kadang-kadang aku rasa marah
Kadang-kadang aku rasa benci
Mengapa perlu ada ”dia” di antara keluarga kita?



Nama aku Alias (bukan nama sebenar). Aku adalah anak daripada keluarga yang berpoligami. Mak adalah isteri pertama dan setelah setahun hidup berpoligami, ayah menceraikan mak. Aku sendri tidak faham kenapa ayah berpoligami. Entahlah, mungkin ayah ada sebabnya tersendiri.

Tidak dapat dinafikan sejak ayah berpoligami, dia banyak menghabiskan masa dengan ”mak muda”. Ayah selalu tiada pada hari-hari penting buat diriku. Majlis khatan, hari lahirku, ayah tiada di sisi, sedangkan hakikatnya aku masih punya ayah. Sedih, pedih dan kecewa semua bersatu. Aku marah dengan ayah. Kenapa dia seakan-akan lupa pada kami? Kenapa dia sentiasa di "sebelah sana"? Walaupun keluarga kami berada dalam situasi poligami selama setahun,  aku berasa bagaikan berkurun lamanya.

Bila ayah berpoligami, keluarga kami tidak seperti dulu lagi. Sering sahaja berlaku pertengkaran di antara mak dengan ayah. Tapi mak adalah seorang wanita yang sabar. 

Dia tidak mahu anak-anak risau tentang dirinya. Tapi mana mungkin anak-anak membiarkan mak sendiri bila ayah mula bertindak ganas.

Aku masih ingat satu hari bila berlaku perbalahan di antara ayah dengan abang. Pada masa itu abang cuba mempertahankan mak. Bertumbuk, bertendang, berterajang… Aku menjadi takut melihat kejadian itu lalu aku menangis sekuat hati.  Trauma menyelubungi diri. Zaman kanak-kanakku tiada palitan pelangi; yang ada cuma hitam, gelap. Tiada istilah gembira dalam hidupku.

Bercerita tentang abang, dia memang seorang yang berani; berani melawan cakap ayah, berani hendak belasah ayah. Pernah apabila ayah lakukan keganasan terhadap mak, abang ambil parang. Abang sentiasa melindungi emak dan adik-adiknya. 

Dulu aku sangat mengkagumi ayah. Aku sangat bangga dengan ayah. Ayah seorang ahli perniagaan yang berjaya. Selalu mengajar dan menggalakkan aku belajar Bahasa Inggeris, bertutur dalam Bahasa Inggeris. Aku akui hasil didikan ayahlah aku fasih berbahasa Inggeris. Tetapi sejak berpoligami, tiada lagi masanya untuk itu semua.

Sebelum mak dengan ayah bercerai, aku ada bertanya kepada ayah. Kenapa dia bukan ayah yang baik kepada kami? Tapi aku sedar mak adalah orang yang menjadi tali ikatan hubungan kami anak-beranak. Mak tidak suka anak-anaknya kurang ajar dengan ayah. Walau seburuk manapun, dia tetap ayah kepada kami. Sebab itu lah aku mesti lindungi mak.

Kadang-kadang aku ada terfikir untuk menjadi seperti ayah. Hidup berpoligami. Tetapi aku mahu laksanakan poligami yang adil; bukan yang ayah praktikkan. Kalau boleh aku nak ada empat isteri, kalu tidak mampu barulah tiga, dua atau satu. Isteri-isteri aku nanti duduk dalam satu rumah yang sama, saling hormat menghormati dan sepakat. Kalau berpoligami, aku akan mengambil balu atau janda yang ada anak seperti yang disebutkan dalam Al-Quran, sebagai isteri-isteriku.

Lelaki yang berpoligami haruslah menjadi pelindung dan pemberi nafkah. Kini aku mengkagumi apa yang Rasullullah SWT praktikkan. Pada aku hubungan suami isteri adalah seperti Ying dan Yang. Saling lengkap melengkapi. Hidup berumahtangga perlu dilimpahi dengan kasih sayang, bukan dengan keganasan.

0 comments:

Post a Comment